Malaysian Institute of Accountants Rules



Permulaan

INSTITUT AKAUNTAN MALAYSIA
(KAEDAH-KAEDAH PEPERIKSAAN KELAYAKAN) 2002 [P.U.230/2002]

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 7 Akta Akauntan 1967 [Akta 94], Institut Akauntan Malaysia, dengan kelulusan Menteri, membuat kaedah-kaedah yang berikut:

BAHAGIAN I - PERMULAAN

Nama dan permulaan kuat kuasa
1. (1) Kaedah-kaedah ini bolehlah dinamakan Kaedah-Kaedah Peperiksaan Kelayakan Institut Akauntan Malaysia 2002.
  (2) Kaedah-Kaedah ini mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2002.
Tafsiran
2. Dalam Kaedah-Kaedah ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
“badan peperiksaan” ertinya suatu badan yang dilantik oleh Majlis di bawah kaedah 8 daripada mana-mana institusi pendidikan tinggi yang dinyatakan dalam Bahagian I Jadual Ketiga Akta atau badan yang diiktiraf yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Ketiga Akta;
“Jawatankuasa Peperiksaan” ertinya suatu jawatankuasa yang dilantik oleh Majlis di bawah kaedah 6 bagi menjalankan fungsi seperti yang dinyatakan di bawah kaedah 7;
“Peperiksaan Kelayakan” ertinya Peperiksaan Kelayakan Institut Akauntan Malaysia yang ditubuhkan di bawah seksyen 15A Akta;
“sijil calon peperiksaan” ertinya suatu sijil yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Peperiksaan setelah pengesahan kelayakan calon itu untuk menduduki Peperiksaan Kelayakan menurut Kaedah-Kaedah ini.


Permohonan Untuk Peperiksaan Kelayakan

BAHAGIAN II - PERMOHONAN UNTUK PEPERIKSAAN KELAYAKAN

Kelayakan
3. (1) Tiada seorang pun boleh memohon untuk menduduki Peperiksaan Kelayakan melainkan jika orang itu layak di bawah subseksyen 15A(2) Akta.
  (2) Pemohon itu hendaklah mempunyai suatu kelayakan tidak kurang daripada ijazah pertama berhubung dengan perakaunan, perniagaan atau kewangan yang dinyatakan dalam subseksyen 15A(2) Akta.
  (3) Kandungan perakaunan dalam kelayakan yang disebut dalam subkaedah (2) hendaklah membentuk tidak kurang daripada enam puluh peratus daripada jumlah kandungan ke!ayakan itu.
Permohonan
4. (1) Suatu permohonan bagi menduduki Peperiksaan Kelayakan hendaklah dikemukakan kepada Jawatankuasa Peperiksaan dalam borang yang ditetapkan dalam Jadual Pertama bersama dengan fi pendaftaran dan peperiksaan sebagaimana yang ditetapkan dari semasa ke semasa.
  (2) Suatu permohonan yang dikemukakan di bawah subkaedah (1) adalah sah jika ianya disertakan dengan fi pendaftaran dan peperiksaan yang berkenaan.
  (3) Jika subkaedah (1) dipatuhi, Jawatankuasa Peperiksaan hendaklah kemudiannya mengeluarkan suatu sijil calon peperiksaan kepada pemohon sebelum dia layak menduduki Peperiksaan Kelayakan.
  (4) Sijil calon peperiksaan itu hendaklah menentukan bilangan kertas yang perlu diduduki oleh calon itu bagi Peperiksaan Kelayakan.
  (5) Seseorang calon tidak akan diberikan suatu sijil penyempurnaan di bawah subkaedah 10(1) jika dia gagal untuk lulus kesemua kertas yang ditentukan dalam sijil calon peperiksaan di bawah subkaedah (4).
  (6) Sijil calon peperiksaan itu adalah sah bagi suatu tempoh tidak melebihi dua tahun dari tarikh sijil itu dikeluarkan.
  (7) Jika calon itu gagal menduduki Peperiksaan Kelayakan itu dalam tempoh yang ditentukan di bawah subkaedah (6), dia boleh seterusnya mengemukakan suatu permohonan menurut subkaedah (1).


Menjalankan Peperiksaan Kelayakan

BAHAGIAN III - MENJALANKAN PEPERIKSAAN KELAYAKAN

Menjalankan Peperiksaan Kelayakan
5. (1) Peperiksaan Kelayakan itu hendaklah dijalankan oleh badan peperiksaan.
  (2) Walau apa pun peruntukan subkaedah (1), Peperiksaan Kelayakan tidak boleh dijalankan tanpa kelulusan Jawatankuasa Peperiksaan.
  (3) Peperiksaan Kelayakan hendaklah dijalankan tidak kurang daripada dua kali setahun.


Jawatankuasa Peperiksaan

BAHAGIAN IV - JAWATANKUASA PEPERIKSAAN

Pelantikan Jawatankuasa Peperiksaan
6. (1) Suatu Jawatankuasa Peperiksaan yang dilantik oleh Majlis di bawah perenggan 10(g) Akta hendaklah terdiri daripada sembilan orang yang berikut yang mana lima daripadanya adalah anggota Institut:
    (a) tiga anggota Majlis;
    (b) dua anggota dilantik daripada badan peperiksaan;
    (c) seorang anggota daripada Jabatan Akauntan Negara;
    (d) seorang anggota daripada Jabatan Perkhidmatan Awam;
    (e) seorang anggota daripada mana-mana institusi pengajian tinggi yang dinyatakan dalam Bahagian I Jadual Ketiga Akta; dan
    (f) seorang anggota daripada mana-mana badan yang diiktiraf yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Ketiga Akta.
  (2) Korum pada apa-apa mesyuarat Jawatankuasa Peperiksaan hendaklah tidak kurang daripada lima orang.
Fungsi
7. Fungsi Jawatankuasa Peperiksaan adalah—
  (a) untuk membuat syor bagi pelantikan suatu badan peperiksaan;
  (b) untuk mendaftar calon dan menyimpan daftar calon itu;
  (c) untuk membuat syor bagi penetapan dan pengutipan fi pendaftaran dan peperiksaan;
  (d) untuk meluluskan struktur dan kandungan Peperiksaan Kelayakan itu;
  (e) untuk meluluskan bilangan kertas dan bidang yang akan dirangkumi dalam kertas itu bagi Peperiksaan Kelayakan itu;
  (f) untuk menyatakan bilangan kertas yang akan diambil oleh calon;
  (g) untuk mengeluarkan sijil calon peperiksaan;
  (h) untuk mengumumkan keputusan peperiksaan dan penyimpanan daftar keputusan itu;
  (i) untuk mengeluarkan sijil penyempurnaan Peperiksaan Kelayakan; dan
  (j) apa-apa fungsi lain sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis dari semasa ke semasa.
Pelantikan badan peperiksaan
8. (1) Majlis hendaklah, atas syor Jawatankuasa Peperiksaan, melantik suatu badan peperiksaan bagi menjalankan Peperiksaan Kelayakan.
  (2) Badan peperiksaan yang dilantik di bawah subkaedah (1) hendaklah bertanggungjawab bagi menjalankan Peperiksaan Kelayakan.
  (3) Fungsi-fungsi lain badan peperiksaan itu adalah—
    (a) untuk menentukan dan menyediakan soalan peperiksaan;
    (b) untuk mengelolakan Peperiksaan Kelayakan dan menjalankan peperiksaan sedemikian;
    (c) untuk memeriksa atau menilai skrip jawapan calon;
    (d) untuk menyerahkan keputusan peperiksaan kepada Jawatankuasa Peperiksaan; dan
    (e) apa-apa fungsi lain sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis dan semasa ke semasa.


Keputusan Peperiksaan

BAHAGIAN V - KEPUTUSAN PEPERIKSAAN

Pemberitahuan keputusan
9. (1) Jawatankuasa Peperiksaan boleh, apabila menerima keputusan peperiksaan, meluluskan keputusan itu dan apabila diluluskan keputusan itu adalah muktamad.
  (2) Jawatankuasa Peperiksaan itu hendaklah kemudiannya memaklumkan kepada calon keputusan yang telah diluluskan itu.
  (3) Tiada rayuan boleh dibuat terhadap keputusan peperiksaan yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Peperiksaan.
Penyempurnaan Peperiksaan Kelayakan
10. (1) Jawatankuasa Peperiksaan hendaklah mengeluarkan suatu sijil penyempurnaan Peperiksaan Kelayakan kepada calon yang telah lulus kesemua kertas yang dikehendaki dalam Peperiksaan Kelayakan itu.
  (2) Sijil penyempurnaan yang disebut dalam subkaedah (1) hendaklah menjadi bukti bahawa calon itu telah menyempurnakan Peperiksaan Kelayakan sebagai sebahagian daripada kehendak yang dinyatakan dalam perenggan 15(c) Akta bagi maksud apa-apa permohonan bagi suatu kemasukan ke Institut sebagai seorang akauntan bertauliah.


Am

BAHAGIAN VI - AM

Fi
11. Fi pendaftaran dan peperiksaan hendaklah ditetapkan oleh Majlis atas syor Jawatankuasa Peperiksaan dari semasa ke semasa.
Garis panduan
12. Majlis atas syor Jawatankuasa Peperiksaan boleh dari semasa ke semasa membuat garis panduan yang sepatutnya atau yang bersampingan bagi memberi kesan kepada Kaedah-Kaedah ini dan garis panduan itu hendaklah boleh didapati bagi tujuan pemeriksaan atau untuk dilihat oleh orang awam di pejabat Institut pada bila-bila masa.

1stschedule01s.jpg