Malaysian Institute of Accountants Rules



Permulaan

KAEDAH-KAEDAH INSTITUT AKAUNTAN MALAYSIA
(KEANGGOTAAN DAN MAJLIS) 2001 [P.U.(A)343/2001]

(sepertimana dipinda oleh KAEDAH-KAEDAH INSTITUT AKAUNTAN MALAYSIA (KEANGOTAAN DAN MAJLIS) (PINDAAN) 2002 [P.U.(A)253/2002])

PADA menjalankan kuasa yang diberikan di bawah seksyen 7 Akta Akauntan 1967 [ Akta 94], Institut Akauntan Malaysia dengan kelulusan Menteri membuat kaedah-kaedah yang berikut:

BAHAGIAN I - PERMULAAN

Nama dan permulaan kuat kuasa
1. (1) Kaedah-kaedah ini bolehlah dinamakan Kaedah-Kaedah Institut Akauntan Malaysia (Keanggotaan dan Majlis) 2001.
  (2) Kaedah-Kaedah ini mula berkuat kuasa pada 9 November 2001
Tafsiran
2. Dalam Kaedah-Kaedah ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
“anggota dalam amalan awam” ertinya seorang akauntan bertauliah atau akauntan berlesen sebagai seorang pemilik tunggal atau dalam suatu perkongsian, yang memberikan atau yang terlibat dalam perkhidmatan amalan awam bagi mendapat suatu bayaran atau ganjaran bagi perkhidmatan sedemikian melainkan sebagai seorang pekerja;
  “meterai” ertinya meterai biasa atau rasmi Institut;
  “perkhidmatan amalan awam” termasuklah—
  (a) audit termasuk audit dalaman;
  (b) perakaunan dan semua jenis perundingan berkaitan dengan perakaunan;
  (c) penyiasatan atau perkhidmatan usaha wajar berkaitan dengan perakaunan;
  (d) perakaunan forensik;
  (e) percukaian, nasihat percukaian dan perundingan;
(f) simpan kira;
  (g) pengkosan dan perakaunan pengurusan;
  (h) insolvensi, likuidasi dan penerimaan;
  (i) peruntukan pengurusan sistem maklumat dan kawalan dalaman;
  (j) peruntukan kesetiausahaan di bawah Akta Syarikat 1965 [Akta 125]; atau
  (k) lain-lain perkhidmatan seperti yang ditetapkan oleh Majlis dari semasa ke semasa.


Keanggotaan

BAHAGIAN II - KEANGGOTAAN

Permohonan bagi keanggotaan atau pengkelasan semula keanggotaan
3. (1) Setiap permohonan bagi suatu kemasukan sebagai seorang anggota Institut hendaklah dibuat dalarn borang yang ditetapkan oleh Majlis. (Pind. P.U.(A)258/2002
b.k.d 28 Jun 2002)
  (2) Permohonan di bawah subkaedah (1) atau suatu pengkelasan semula keanggotaan tersebut hendaklah dikemukakan kepada Majlis.  
Ahli Bersekutu
4. (1) Mana-mana orang yang memohon untuk diterima masuk sebagai seorang anggota bersekutu hendaklah, tertakiuk kepada seksyen 16A Akta, memenuhi kehendak Majlis bahawa— (Pind. P.U.(A)258/2002
b.k.d 28 Jun 2002)
(a) dia memiliki ijazah pertama atau ijazah Sarjana atau lebih tinggi, yang mana dia harus mempunyai pengkhususan dalam perakaunan bagi sama ada ijazah pertama atau ijazah Sarjananya; dan
    (b) dia mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman mengajar dalam bidang perakaunan atau subjek yang berkaitan dengan perakaunan di institusi pengajian tinggi atau yang setaraf dengannya.  
  (2) Majlis mempunyai budi bicara mutlak berkenaan dengan permohonan di bawah subkaedah (1) dan keputusan Majlis adalah muktamad.  
Yuran pendaftaran dan yuran tahunan
5. (1) Mana-mana pemohon di bawah kaedah 3 yang diterima masuk sebagai seorang anggota hendaklah membayar kepada Institut semasa kemasukan atau pengkelasan semula suatu yuran pendaftaran dan yuran tahunan yang bersesuaian seperti yang ditetapkan dalam Jadual. (Pind. P.U.(A)258/2002
b.k.d 28 Jun 2002)
  (2) Apabila diterima masuk setiap anggota hendaklah diberikan oleh Majlis dengan sijil keanggotaan yang berkenaan di bawah meterai Institut.  
  (3) Bagi setiap dan tiap-tiap tahun berikutnya, seorang anggota hendaklah membayar kepada Institut yuran tahunan yang bersesuaian seperti yang ditetapkan dalam Jadual apabila genap masa kena dibayar. (Pind. P.U.(A)258/2002
b.k.d 28 Jun 2002)
  (4) Bagi maksud subkaedah (1), “yuran pendaftaran” termasuk tetapi tidak terhad kepada—  
    (a) yuran kemasukan; atau  
    (b) yuran pengkelasan semula.  
Keberhentian anggota
6. (1) Mana-mana anggota Institut boleh pada bila-bila masa mengemukakan keberhentiannya kepada Pendaftar secara bertulis.  
  (2) Apabila menerima keberhentian secara bertulis itu, Pendaftar dengan persetujuan Majlis hendaklah mengeluarkan nama anggota itu daripada daftar dan dia hendaklah kemudiannya terhenti menjadi anggota Institut.  
  (3) Majlis boleh tidak menerima keberhentian seseorang anggota jika—  
    (a) Majlis mempunyai apa-apa sebab untuk mempercayai bahawa anggota itu bersalah berkelakuan tidak profesional atau berlaku sesuatu keadaan yang boleh menyebabkan namanya dikeluarkan daripada daftar;  
    (b) Majlis mengetahui bahawa apa-apa perkara mengenai anggota itu ada!ah dalam siasatan Jawatankuasa Penyiasatan atau Jawatankuasa Tatatertib Institut;  
    (c) suatu perkara mengenai anggota itu adalah dalam rayuan di hadapan Lembaga Rayuan Tatatertib; atau  
    (d) anggota tersebut berhutang kepada Institut.  
Mengeluarkan anggota yang yurannya tertunggak
7. (1) Majlis boleh menghendaki Pendaftar mengeluarkan daripada daftar nama mana-mana anggota yang mempunyai yuran tertunggak selama enam bulan atau lebih dalam pembayaran apa-apa yuran.  
  (2) Pendaftar hendaklah kemudiannya memaklumkan orang yang namanya telah dikeluarkan daripada daftar melalui pemberitahuan yang diserahkan secara persendirian kepadanya atau dihantar kepadanya melalui pos berdaftar dan dia hendaklah kemudiannya terhenti daripada menjadi seorang anggota Institut.  
  (3) Tanpa menjejaskan apa-apa peruntukan lain Akta, mana-mana orang yang namanya telah dikeluarkan daripada daftar boleh pada bila-bila masa dari tarikh pemberitahuan di bawah subkaedah (2) membayar kepada Majlis semua yuran yang tertunggak atau yang sepatutnya tertunggak jika dia terus menjadi seorang anggota Institut bersama dengan yuran kemasukan semula yang tidak melebihi satu ribu ringgit dan apa-apa penalti sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis supaya namanya dimasukkan semula dalam daftar. (Pind. P.U.(A)258/2002
b.k.d 28 Jun 2002)
  (4) Apabila nama orang itu dimasukkan semula ke dalam daftar, dia hendaklah disifatkan diterima masuk semula sebagai seorang anggota Institut.  
Kemasukan semula anggota yang berhenti
8. (1) Mana-mana anggota yang namanya telah dikeluarkan daripada daftar menurut kaedah 6 boleh pada bila-bila masa memohon supaya namanya dimasukkan semula dalam daftar dengan membayar suatu yuran kemasukan semula dengan suatu amaun tidak melebihi satu ribu ringgit yang akan ditentukan oleh Majlis bagi setiap kes dan hendaklah tertakiuk kepada apa-apa terma dan syarat yang Majlis fikirkan perlu dikenakan ke atasnya. (Pind. P.U.(A)258/2002
b.k.d 28 Jun 2002)
  (2) Sesuatu permohonan bagi suatu kemasukan semula di bawah subkaedah (1) hendaklah disertakan dengan maklumat dan penjelasan sebagaimana yang dikehendaki oleh Majlis.  
  (3) Apabila menerima permohonan sedemikian, Majlis mempunyai budi bicara sama ada untuk menolak atau memasukkan semula nama pemohon ke dalam daftar dan Majlis berhak untuk tidak memberikan apa-apa alasan dalam menolak permohonan itu.  
Amalan awam dan sijil amalan
9. (1) Seorang anggota tidak boleh mengemukakan dirinya sebagai seorang anggota dalam amalan awam kecuali dia memiliki sijil amalan yang sah yang dikeluarkan oleh Institut menurut peruntukan kaedah ini.  
  (2) Seorang anggota adalah berhak kepada suatu sijil amalan mengikut peruntukan kaedah ini jika— (Pind. P.U.(A)258/2002
b.k.d 28 Jun 2002)
    (a) anggota itu mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman di bawah perkhidmatan—  
      (i) seorang akauntan bertauliah yang merupakan seorang anggota dalam amalan awam;  
      (ii) seorang akauntan dalam amalan awam di luar negara yang merupakan seorang anggota salah satu badan yang diiktiraf yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Pertama Akta; atau  
      (iii) seorang akauntan dalam amalan awam di luar negara yang merupakan seorang anggota mana-mana badan profesional lain yang diiktiraf oleh Majlis dari semasa ke semasa; atau  
    (b) anggota itu mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman lain di dalam mana-mana bidang perkhidmatan amalan awam sebagaimana yang diluluskan oleh Majlis,  
    dan anggota itu telah mematuhi peruntukan kaedah ini dan kehendak lain sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis dari semasa ke semasa.  
  (3) Suatu permohonan bagi suatu sijil amalan di bawah peruntukan kaedah ini hendaklah dibuat dalam borang yang ditetapkan oleh Majlis dan hendaklah disertakan dengan yuran tahunan sijil amalan yang ditetapkan dalam Jadual. (Pind. P.U.(A)258/2002
b.k.d 28 Jun 2002)
  (4) Sijil amalan hendaklah dalam borang yang ditentukan oleh Majlis dari semasa ke semasa dan hendaklah dikeluarkan untuk satu tempoh tidak melebihi dua belas bulan dan tamat pada hari terakhir bulan Jun pada mana-mana tahun dan hendaklah, tertakluk kepada subkaedah (6), diperbaharui secara automatik berasaskan dari setahun ke setahun, bagi tempoh dua belas bulan setiap pembaharuan berkuat kuasa pada hari pertama bulan Julai yang berikutnya, di mana yuran tahunan sijil amalan menjadi genap masa dan kena dibayar.  
  (5) Bagi seorang anggota mengekalkan sijil amalan yang telah dikeluarkan di bawah subkaedah (2), dia hendaklah mematuhi peruntukan kaedah ini dan kekal dalam amalan awam atau terlibat dalam perkhidmatan amalan awam sepenuh masa.  
  (6) Seorang anggota hendaklah terhenti daripada mempunyai hak ke atas suatu sijil amalan jika dia gagal membayar yuran tahunan sijil amalan pada hari terakhir bulan Disember pada tahun di mana yuran tersebut kena genap masa dan dibayar menurut subkaedah (4) melainkan Majlis memutuskan sebaliknya.  
  (7) (a) Seorang anggota yang—  
      (i) terhenti daripada mempunyai hak ke atas suatu sijil amalan di bawah peruntukan kaedah ini;  
      (ii) gagal memulakan amalan awam dalam tempoh enam bulan dari tarikh pengeluaran sijil amalan itu; atau  
      (iii) tidak terlibat dalam amalan awam atau bergiat dalam mana mana perkhidmatan amalan awam sepenuh masa;  
      hendaklah secara automatik terhenti daripada mempunyai suatu sijil amalan yang sah dan anggota itu hendaklah memulangkan sijil amalannya kepada Institut dalam tempoh empat belas hari dari tarikh keterhentian untuk pembatalan sijil itu.  
    (b) Anggota yang mana sijil amalannya telah dibatalkan di bawah perenggan (a) boleh diberikan suatu sijil amalan yang baru jika dia menjadi layak semula di bawah peruntukan kaedah ini.  
  (8) Mana-mana anggota dalam amalan awam atau terlibat dalam perkhidmatan amalan awam dan berkhidmat di firma perakaunan awam yang memiliki suatu sijil amalan yang sah yang dikeluarkan oleh Institut sebelum kaedah-kaedah ini berkuat kuasa, hendaklah layak untuk kekal dalam amalan awam atau terlibat dalam perkhidmatan amalan awam sementara menanti suatu sijil amalan dikeluarkan menurut kaedah ini.  
  (9) Kelayakan di bawah subkaedah (8) hendaklah hanya dibenarkan apabila anggota itu telah membuat permohonan bagi suatu sijil amalan menurut subkaedah (3) sebelum hari terakhir bulan Jun dalam tahun di mana kaedah-kaedah ini berkuat kuasa dan anggota tersebut mematuhi peruntukan-peruntukan lain kaedah ini.  


Mesyuarat Agung, Pemilihan Anggota, Meterai dan Akaun

BAHAGIAN III - MESYUARAT AGUNG, PEMILIHAN, METERAI DAN AKAUN

Notis Mesyuarat Agung
10. (1) Majlis hendaklah menyebabkan suatu notis mengenai setiap mesyuarat agung dan mesyuarat agung tahunan Institut diberikan kepada anggota sekurang-kurangnya dua puluh satu hari genap sebelum mesyuarat agung atau mesyuarat agung tahunan itu dengan menyatakan tarikh, masa dan tempat bagi mengadakan mesyuarat dan juga urusan yang akan dijalankan dalam mesyuarat itu. (Pind. P.U.(A)258/2002
b.k.d 28 Jun 2002)
  (2) Pemberitahuan mesyuarat itu hendaklah disifatkan sebagai telah diterima sebaik sahaja notis telah diposkan melalui pos biasa atau dihantar oleh penghantar ke alamat anggota seperti yang dinyatakan dalam rekod Institut.  
Agenda
11. Agenda bagi mesyuarat agung yang pertama dan mesyuarat agung tahunan Institut hendaklah termasuk urusan yang berikut: (Pind. P.U.(A)258/2002
b.k.d 28 Jun 2002)
  (a) untuk mempertimbang dan menerima minit-minit mesyuarat tersebut atau mesyuarat yang terdahulu;  
  (b) untuk menerima laporan atau laporan tahunan Majlis;  
  (c) untuk menerima penyata kewangan Institut bagi tahun betul-betul sebelumnya dan laporan juru audit;  
  (d) untuk melantik anggota Majlis bagi tahun berikutnya; dan  
  (e) apa-apa urusan lain yang mana notis sewajarnya telah diberikan.  
Notis usul
12. (1) Mana-mana anggota yang ingin mencadangkan apa-apa usul dalam mesyuarat agung tahunan Institut hendaklah memberi notis mengenai usul itu kepada Pendaftar tidak kurang dari empat belas hari sebelum tarikh mesyuarat agung tahunan itu.  
  (2) Tiada suatu usul boleh dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat agung tahunan Institut kecuali notis yang dikehendaki itu telah diberikan.  
Kuorum
13. (1) Seratus orang anggota Institut yang layak mengundi hendaklah membentuk kuorum bagi apa-apa mesyuarat dan tiada suatu urusan boleh dijalankan pada mana-mana mesyuarat kecuali ada kuorum.  
  (2) Jika dalam masa tiga puluh minit dari waktu yang ditetapkan untuk mengadakan mesyuarat kuorum tiada, mesyuarat tersebut hendaklah—  
    (a) jika dipanggil oleh Majlis atas permintaan anggota, dibubarkan; atau  
    (b) jika dipanggil oleh Majlis selain daripada atas permintaan anggota, ditangguhkan tidak kurang dari satu minggu dan tidak lebih dari empat minggu, supaya diadakan pada tarikh, masa dan tempat yang ditentukan oleh Majlis dan sekiranya pada mesyuarat yang ditangguhkan itu kuorum tiada dalam masa tiga puluh minit dari masa yang ditetapkan mesyuarat diadakan, anggota yang hadir hendaklah membentuk kuorum dan hendaklah mempunyai kuasa penuh bagi melaksanakan urusan yang dicadangkan pada mesyuarat yang ditangguhkan itu.  
Keputusan majoriti
14. (1) Suatu persoalan dalam mana-mana sesuatu mesyuarat Institut hendaklah diputuskan oleh majoriti undian anggota yang hadir atau oleh proksi mereka.  
  (2) Jika terdapat suatu undian yang sama, Pengerusi mesyuarat mempunyai suatu undi pemutus.  
Pengundian
15. Tertakluk kepada subseksyen 16A(2) Akta, seorang anggota yang layak mengundi hendaklah berhak dan mempunyai satu undi setiap seorang atas sesuatu persoalan yang berbangkit dalam mana-mana mesyuarat Institut.  
Proksi
16. Tertakluk kepada subseksyen 16A(2) Akta, undian hendaklah diberikan oleh anggota yang hadir dan yang berhak mengundi atau, jika pungutan undi diperlukan, oleh anggota itu atau proksi yang dilantik oleh anggota itu.  
Pelantikan proksi
17. Pelantikan seorang proksi hendaklah tertakluk kepada syarat-syarat berikut:  
  (a) instrumen pelantikan seseorang proksi hendaklah dalam borang yang ditetapkan oleh Majlis; (Pind. P.U.(A)258/2002
b.k.d 28 Jun 2002)
  (b) instrumen pelantikan itu hendaklah ditandatangani dihadapan seorang anggota Institut yang lain yang layak mengundi dalam sesuatu mesyuarat Institut;  
  (c) hanya seseorang yang layak mengundi dalam sesuatu mesyuarat Institut boleh dilantik sebagai seorang proksi;  
  (d) proksi boleh dilantik bagi suatu mesyuarat yang ditentukan dan oleh mana-mana penangguhan mesyuarat itu; dan  
  (e) proksi tidak layak mengundi dalam sesuatu mesyuarat Institut melainkan instrumen pelantikannya telah diserahkan di pejabat berdaftar Institut tidak kurang daripada empat puluh lapan jam sebelum waktu yang ditetapkan bagi mesyuarat itu.  
Pengundian dan permintaan pungutan undi
18. (1) Setiap usul yang dikemukakan dalam suatu mesyuarat Institut hendaklah diputuskan terlebih dahulu secara mengangkat tangan, dan, sekiranya terdapat undi yang sama, hendaklah diputuskan secara mengangkat tangan atau dalam suatu pungutan undi, Pengerusi mesyuarat hendaklah mempunyai undi pemutus sebagai tambahan kepada undi yang beliau berhak sebagai seorang anggota.  
  (2) Kehendak secara mengangkat tangan bagi memutuskan sesuatu usul boleh dikecualikan jika Pengerusi mesyuarat mengarahkan sedemikian dan sekurang-kurangnya lima orang anggota yang hadir dan layak mengundi bersetuju dengan arahan Pengerusi.  
  (3) Atas penetapan keputusan secara mengangkat tangan, Pengerusi mesyuarat atau sekurang-kurangnya lima anggota yang hadir dan layak mengundi dalam mesyuarat boleh meminta supaya pungutan undi diambil atas suatu ketetapan.  
  (4) Suatu penetapan oleh Pengerusi mesyuarat bahawa suatu ketetapan telah dibuat oleh majoriti tertentu atau tidak dibuat oleh majoriti tertentu adalah muktamad dan perihal perkara ini hendaklah dimasukkan ke dalam minit prosiding Institut.  
Permintaan pungutan undi tidak menghalang urusan lain
19 (1) Jika suatu pungutan undi diminta di bawah subkaedah 18(3), ia hendaklah dilaksanakan dengan cara yang ditentukan, pada masa dan tempat yang diarahkan oleh Pengerusi mesyuarat dan boleh dibuat serta merta, selepas satu jarak masa atau penangguhan atau selainnya, dan keputusan pungutan undi tersebut hendaklah disifatkan sebagai ketetapan mesyuarat.  
  (2) Sekiranya suatu pungutan undi diminta ia tidak seharusnya menghalang perjalanan suatu mesyuarat bagi apa-apa urusan selain daripada persoalan di mana suatu pungutan undi telah diminta.  
  (3) Pihak yang meminta suatu pungutan undi boleh menarik balik pungutan undi itu.  
  (4) Suatu pungutan undi tidak boleh diambil sebagai apa-apa ketetapan berhubung dengan pengundian seorang Pengerusi mesyuarat atau penangguhan sesuatu mesyuarat.  
Kertas pencalonan
20. (1) Seorang anggota hanya layak dipilih sebagai seorang anggota Majlis sekiranya kertas pencalonan, dalam borang sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis, diserahkan kepada Pendaftar tidak kurang dari tiga puluh lima hari genap sebelum mesyuarat agung tahunan.  
  (2) Tanpa menjejaskan peruntukan kaedah 10 dan bagi maksud kaedah ini, Majlis hendaklah menyebabkan satu notis sementara tarikh setiap mesyuarat agung tahunan dihantar kepada anggota sekurang-kurangnya empat puluh sembilan hari genap sebelum mesyuarat agung tahunan itu.  
  (3) Kertas pencalonan hendaklah ditandatangani oleh lima orang anggota yang layak mengundi bagi anggota yang dicalonkan dalam pengundian dan oleh orang yang dicadangkan bagi pencalonan itu, menyetujui pencalonan itu dan menyatakan kesediaan berkhidmat untuk Institut.  
Anggota yang bersara disifatkan sebagai dicalonkan bagi pemilihan semula
21. Seorang anggota Majlis yang bersara di bawah peruntukan Jadual Kedua Akta hendaklah, melainkan jika dia telah memberitahu Pendaftar mengenai hasratnya untuk tidak menawarkan dirinya bagi pencalonan semula atau melainkan dia telah hilang kelayakan, disifatkan sebagai dicalonkan bagi pemilihan semula.  
Pencalonan bagi pemilihan ke Majlis
22. (1) Jika bilangan orang yang dicalonkan bagi pemilihan tidak lebih daripada bilangan kekosongan, orang yang dicalonkan hendaklah, mulai dari mesyuarat agung tahunan yang kemudiannya, disifatkan telah dilantik sewajarnya sebagai anggota Majlis.  
  (2) Jika bilangan orang yang dicalonkan bagi pemilihan adalah lebih daripada bilangan kekosongan, pemilihan hendaklah dijalankan dengan menggunakan kertas undi mengikut cara yang diperuntukkan dalam kaedah-kaedah ini.  
Pelantikan pemeriksa undi
23. (1) Majlis hendaklah, di mana suatu pemilihan adalah perlu di bawah subkaedah 22(2), melantik dua orang pemeriksa undi yang mana tidak lebih daripada seorang adalah seorang anggota Majlis.  
  (2) Jika disebabkan kematian, keengganan atau ketidakupayaan bilangan pemeriksa undi adalah kurang daripada dua, Majlis boleh melantik seorang anggota memenuhi kekosongan tersebut.  
Pengundian dalam pemilihan ke Majlis
24. (1) Tertakluk kepada subseksyen 16A(2) Akta, setiap anggota layak membuang sejumlah undi asalkan ianya tidak melebihi bilangan kekosongan yang diperuntukkan di bawah perenggan 8(1)(g) Akta yang dibaca bersama dengan peruntukan Jadual Kedua Akta.  
  (2) Seorang anggota hanya layak membuang tidak lebih daripada satu undi bagi setiap calon.  
Undi pos
25. Pendaftar hendaklah, tidak kurang dari dua puluh satu hari genap sebelum mesyuarat agung tahunan menyebabkan supaya kertas undi bersama dengan sampul suratnya diposkan kepada setiap ahli yang layak mengundi.  
Penyempurnaan kertas undi
26. (1) Setiap anggota yang mengundi hendaklah—  
    (a) menanda “x” di sebelah nama setiap calon yang diundinya;  
    (b) memasukkan kertas undi dalam sampul surat yang disediakan dengan melekatkan penutup sampul surat itu dan mengendorskan nama penuhnya dan menandatangani sampul surat itu; dan  
    (c) memastikan setelah sampul surat itu ditutup, diendors dan ditandatangani—  
      (i) pos atau menghantarnya kepada Institut tidak kurang daripada dua puluh empat jam di alamat yang dinyatakan pada sampul surat tersebut sebelum tarikh dan masa mesyuarat agung tahunan itu diadakan; atau  
      (ii) ianya diletakkan ke dalam peti undi yang disediakan di tempat mesyuarat agung tahunan tersebut tidak lewat dari masa yang dinyatakan bagi permulaan mesyuarat itu.  
  (2) Setiap sampul surat ditutup yang diterima oleh Institut mengikut kaedah ini hendaklah diletakkan ke dalam peti undi.  
Ketaksahan kertas undi
27. Mana-mana kertas undi yang—  
  (a) mengandungi undi yang lebih diberikan oleh anggota daripada jumlah calon yang perlu dipilih oleh anggota; atau  
  (b) tidak mematuhi peruntukan kaedah 26,  
  hendaklah dianggap tidak sah dan terbatal.  
Pengiraan undi oleh pemeriksa undi  
28. (1) Pemeriksa undi hendaklah, dengan seberapa segera yang boleh selepas tutupnya pengundian pada hari mesyuarat agung tahunan, memeriksa kertas undi bagi memastikan bahawa peruntukan subkaedah 26(1) telah dipatuhi dan hanya selepas itu kertas undi boleh dikira.  
  (2) Pemeriksa undi hendaklah menolak mana-mana kertas undi yang tidak mematuhi peruntukan subkaedah 26(1).  
  (3) Keputusan pemeriksa undi tentang kesahan mana-mana kertas undi adalah muktamad.  
  (4) Pemeriksa undi hendaklah memaklumkan kepada Pengerusi mesyuarat keputusan pemilihan dan Pengerusi kemudiannya hendaklah mengumumkan keputusan pemilihan dalam mesyuarat itu.  
  (5) Jika terdapat jumlah undi yang sama antara mana-mana calon, Pengerusi boleh memberi undi pemutus bagi menentukan calon yang berjaya.  
Laporan pemeriksa undi
29. (1) Pemeriksa undi hendaklah membuat dan menandatangani suatu laporan yang menyatakan—  
    (a) jumlah bilangan kertas undi yang didapati dalam peti undi, jumlah bilangan kertas undi yang ditolak dan sebab penolakan;  
    (b) jumlah bilangan undi yang dipungut oleh setiap calon; dan  
    (c) nama calon yang sewajarnya dipilih.  
  (2) Laporan yang dibuat hendaklah diserahkan kepada Pendaftar tidak lewat daripada tiga hari genap selepas mesyuarat agung tahunan itu. (Pind. P.U.(A)258/2002
b.k.d 28 Jun 2002)
  (3) Laporan itu hendaklah, melainkan dibuktikan sebaliknya, menjadi keterangan yang mencukupi mengenai pemilihan itu.  
  (4) Kertas undi yang sempurna dikira mengikut kaedah 28 hendaklah disimpan di pejabat Institut untuk tempoh enam puluh hari genap dari tarikh laporan itu diserahkan kepada Pendaftar di bawah subkaedah (2). (Pind. P.U.(A)258/2002
b.k.d 28 Jun 2002)
Tarikh kuat kuasa pemilihan
30. Pemilihan di bawah kaedah-kaedah ini hendaklah berkuat kuasa dari tarikh mesyuarat agung tahunan.  
Peletakan jawatan anggota Majlis
31. (1) Seorang anggota Majlis boleh meletak jawatan dengan mengemukakan peletakan jawatannya secara bertulis kepada Majlis.  
  (2) Peletakan jawatan yang dirujuk dalam subkaedah (1) hendaklah hanya berkuat kuasa apabila ia dipersetujui oleh Majlis.  
  (3) Apabila perletakan jawatan itu diterima, orang itu hendaklah terhenti daripada menjadi seorang anggota Majlis.  
Pemecatan anggota Majils
32. (1) Anggota yang layak mengundi dalam pemilihan anggota Majlis boleh memecat mana-mana anggota Majlis yang telah dipilih di bawah peruntukan perenggan 8(1)(g) Akta dibaca bersama dengan peruntukan Jadual Kedua Akta, daripada jawatannya sebelum tamat tempoh jawatannya.  
  (2) Pemecatan mana-mana anggota Majlis hendaklah melalui suatu ketetapan diluluskan oleh dua per tiga daripada mereka yang layak mengundi pada suatu mesyuarat agung melalui suatu undian.  
  (3) Suatu ketetapan yang dirujuk di bawah subkaedah (2) tidak boleh dicadangkan tanpa memberi anggota Majlis berkenaan suatu notis bertulis sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum mesyuarat agung mengenai usul mencadangkan suatu ketetapan.  
Menteri boleh melantik anggota Majlis
33. Jika anggota Institut gagal pada bila-bila masa untuk membuat pemilihan yang perlu mengikut peruntukan perenggan 8(1)(g) Akta dibaca bersama peruntukan Jadual Kedua Akta, Menteri boleh melantik mana-mana orang daripada anggota Institut bagi memegang jawatan dalam Majlis.  
Minit mesyuarat
34. Semua minit ketetapan dan prosiding berkenaan Institut hendaklah direkodkan dan setiap minit mesyuarat ditandatangani oleh Pengerusi mesyuarat yang berkenaan atau oleh Pengerusi suatu mesyuarat yang kemudiannya dan hendaklah menjadi keterangan yang mencukupi mengenai ketetapan dan prosiding mesyuarat. (Pind. P.U.(A)258/2002
b.k.d 28 Jun 2002)
Pengawalan dan penyimpanan meterai
35. (1) Pendaftar adalah berkuasa mengawal dan menyimpan meterai Institut di bawah kawalan dan arahan Majlis.  
  (2) Meterai itu tidak boleh dicapkan pada mana-mana instrumen kecuali dengan arahan Majlis.  
  (3) Setiap instrumen yang dicapkan dengan meterai hendaklah ditandatangani oleh Presiden Institut atau Naib Presiden Institut, dan juga Pendaftar atau seorang anggota Majlis yang dinamakan secara bertulis oleh Majlis bagi maksud itu.  
Akaun bank dan instrumen perbankan
36. (1) Majlis hendaklah mempunyai kuasa melalui ketetapan untuk membuka suatu akaun bank atau beberapa akaun atas nama Institut dengan bank atau bank-bank yang diluluskan dalam ketetapan itu.  
  (2) Segala cek yang ditulis untuk dibayar daripada akaun atau akaun-akaun itu dalam jumlah yang melebihi sepuluh ribu ringgit hendaklah ditandatangani oleh  
    (a) Presiden Institut;  
    (b) Naib Presiden Institut; atau  
    (c) Pendaftar;  
    dan juga ditandatangani oleh seorang anggota Majlis yang dinamakan secara bertulis oleh Majlis bagi maksud ini.  
  (3) Segala cek yang ditulis untuk dibayar daripada akaun atau akaun-akaun itu dalam jumlah tidak melebihi sepuluh ribu ringgit hendaklah ditandatangani oleh mana-mana salah seorang daripada kakitangan Institut yang dinamakan secara bertulis oleh Majlis bagi maksud ini dan juga hendaklah ditandatangani oleh mana-mana satu orang yang dirujuk dalam subkaedah (2).  
  (4) Peruntukan dalam subkaedah (1), (2) dan (3) hendaklah juga perlu terpakai mengikut pengubahsuaian yang perlu berkenaan dengan mana-mana instrumen perbankan atau arahan yang dibuat bagi dan atas pihak Institut.  
Pelaburan dana
37. Semua dana Institut yang tidak diperlukan dengan segera bagi maksud biasa Institut boleh dilaburkan atas nama Institut mengikut apa-apa cara sebagairnana yang Majlis, melalui ketetapan, putuskan dan peruntukan subkaedah 36(4) hendaklah terpakai.  
  Pembayaran balik kepada seseorang yang telah memberi khidmat kepada Institut  
38. Majlis boleh membayar daripada dana Institut suatu jumlah yang munasabah bagi perbelanjaan yang ditanggung oleh seseorang yang bukan anggota Institut yang telah memberi khidmatnya kepada Institut.  


Prosiding Majlis

BAHAGIAN IV - PROSIDING MAJLIS

Memanggil suatu mesyuarat Majlis
39. Suatu mesyuarat Majlis boleh pada bila-bila masa dipanggil atas arahan Presiden Institut atau Naib Presiden Institut, atau atas permintaan secara bertulis dialamatkan kepada Pendaftar oleh sepuluh orang anggota Majlis. (Pind. P.U.(A)258/2002
b.k.d 28 Jun 2002)
Notis mesyuarat Majlis
40. (1) Suatu pemberitahuan bertulis tentang suatu mesyuarat Majlis hendaklah dihantar kepada setiap anggota Majlis sekurang-kurangnya tujuh hari genap sebelum mesyuarat itu.  
  (2) Dalam hal di mana suatu mesyuarat tergempar dipanggil dan diperakui oleh Presiden Institut atau Naib Presiden Institut, suatu notis yang lebih singkat adalah memadai.  
Kuasa Pengerusi
41. Pengerusi hendaklah mempunyai budi bicara untuk memutuskan apa-apa perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis sebagai tidak berkaitan dengan prosiding Majlis atau menutup perkara itu tanpa perbincangan selanjutnya.  
Penangguhan mesyuarat Majlis
42. (1) Tertakluk kepada peruntukan undang-undang kecil yang dibuat oleh Majlis, Pengerusi bagi suatu mesyuarat Majlis boleh, dengan persetujuan mesyuarat, menangguhkan mesyuarat itu dari semasa ke semasa dan dari suatu tempat ke suatu tempat.  
  (2) Dalam sesuatu mesyuarat tangguhan tiada urusan boleh dijalankan melainkan urusan yang belum selesai dalam mesyuarat yang ditangguhkan itu.  
  (3) Tiada notis perlu diberi tentang sesuatu mesyuarat tangguhan melainkan jika diarahkan dalam resolusi penangguhan.  
Minit mesyuarat Majlis
43. Minit yang sempurna hendaklah direkodkan mengenai segala ketetapan dan prosiding mesyuarat Majlis dan jawatankuasanya, dan setiap minit mesyuarat ditandatangani oleh Pengerusi mesyuarat yang berkenaan dan rekod itu hendaklah menjadi keterangan yang mencukupi mengenai ketetapan dan prosiding mesyuarat.  
Ketetapan secara bertulis ditandatangani oleh anggota Majlis
44. Walau apa pun kaedah 39, 40, 41, 42, dan 43, suatu ketetapan secara bertulis yang ditandatangani oleh semua anggota Majlis hendaklah menjadi sah dan berkesan seolah-olah ianya telah diluluskan dalam suatu mesyuarat Majlis yang diadakan dan telah diadakan sewajarnya.  


Am

BAHAGIAN V - AM

Pelantikan penasihat undang-undang  
45. Majlis boleh melantik seorang penasihat undang-undang Institut.  
Fasal tanggung rugi  
46. (1) Majlis boleh membayar daripada dana Institut kepada mana-mana anggota Majlis elaun perjalanan dan elaun hidup yang munasabah pada setiap kali anggota itu menghadiri suatu mesyuarat Majlis atau jawatankuasa atau jawatankuasa kecil Majlis atau Institut.  
  (2) Presiden Institut, Naib Presiden Institut, mana-mana anggota Majlis atau Institut dan anggota jawatankuasa atau jawatankuasa kecil Majlis atau Institut, para pegawai, kakitangan atau agen Institut hendaklah diberi tanggung rugi oleh Institut daripada segala kerugian dan perbelanjaan yang ditanggung oleh mereka dalam menjalankan tugasan masing-masing kecuali perbelanjaan yang ditanggung akibat keingkaran sengaja masing-masing.  
Pembatalan  
47. Kaedah-kaedah Akauntan 1972 [P.U.(A)329/72] adalah dibatalkan.  

Jadual

(Kaedah 5/Kaedah 9)
YURAN YANG DITETAPKAN

(a) Yuran Pendaftaran
  (i) yuran kemasukan RM500.00
  (ii) yuran pengkelasan semula RM100.00
(b) Bayaran Yuran Tahunan
  (i) Akauntan Bertauliah RM250.00
  (ii) Akauntan Berlesen RM250.00
  (iii) Anggota Bersekutu RM150.00
(c) Yuran Sijil Amalan RM250.00

Dibuat 24 Oktober 2001
[PP(S) 0.381 Sj.1/Jld. 1(34); PN(PU²)229]

ABDUL SAMAD BIN HAJI ALIAS
Presiden,
Institut Akauntan Malaysia

Diluluskan.
Bertarikh 7 November 2001

DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Menteri Kewangan